Tuesday 13 December 2016

PENTINGNYA PENGUASAAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Kemahiran insaniah dapat ditakrifkan sebagai kemahiran seseorang dalam membina hubungan baik dengan diri sendiri mahupun orang lain. Ia meliputi aspek komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan kepimpinan. Kesemua kemahiran ini amat penting dan perlu dikuasai lebih-lebih lagi kepada bakal graduan. Hal demikian kerana kebanyakan organisasi amat menitikberatkan kesemua kemahiran insaniah ini bagi mendapatkan pekerja yang berpotensi dan berkualiti. Kemahiran komunikasi terutamanya Bahasa Inggeri adalah kemahiran utama yang ditetapkan oleh majikan sebagai aspek pemilihan graduan sama ada kemahiran komunikasi itu benar-benar dikuasai pada tahap yang diingini. Tambahan pula, penguasaan kemahiran komunikasi yang baik membolehkan graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif di samping membantu mereka untuk mendapatkan kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan kemahiran yang mereka ada. Selain itu, kemahiran kerja berpasukan yang memerlukan seseorang itu bekerja dengan lebih ramai orang di dalam satu kumpulan juga perlu dikuasai. 


Nilai-nilai positif juga perlu diterapkan agar hubungan yang baik dapat dibina antara ahli kumpulan. Penguasaan dalam kemahiran penyelesaian masalah juga merupakan kriteria penting bagi membolehkan graduan diterima bekerja. Hal yang demikian kerana organisasi memerlukan pekerja yang mampu menyelesaikan masalah jika berada dalam situasi yang sukar. Kesimpulannya, kemahiran insaniah perlu dikuasai terutamanya dalam kalangan graduan dan mereka perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran realiti pekerjaan sebenar. 

No comments:

Post a Comment