Monday 12 December 2016

ANCAMAN VIRUS ZIKA, SELAMATKAH KITA?


        Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan ancaman virus Zika iaitu sejenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Penyakit ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan demam denggi. Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung kes seorang wanita dari Klang telah disahkan positif dijangkiti virus tersebut selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos yang lalu. Hal ini amat membimbangkan rakyat Malaysia kerana penyakit ini mula tersebar dan merebak ke kawasan lain. Tambahan pula, laporan mengesahkan terdapat 5 orang rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura telah dijangkiti virus ini. Oleh itu, aktiviti pencegahan Aedes ditingkatkan di semua negeri terutama di Johor dan Selangor. Apa yang lebih membimbangkan ialah wanita hamil lebih berisiko mendapat jangkitan ini kerana virus tersebut boleh mengancam perkembangan janin di dalam kandungan. 

      Antara gejala Zika termasuklah sakit sendi, sakit otot dan demam berterusan. Oleh yang demikian, kita haruslah mengambil inisiatif untuk mencegah daripada penularan virus ini dengan membersihkan kawasan sekitar dari pembiakan nyamuk Aedes dan mendapatkan pemeriksaan berkala jika demam kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Semoga kita semua akan terhindar daripada jangkitan virus Zika ini.































































No comments:

Post a Comment