Tuesday 13 December 2016

PENTINGNYA PENGUASAAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Kemahiran insaniah dapat ditakrifkan sebagai kemahiran seseorang dalam membina hubungan baik dengan diri sendiri mahupun orang lain. Ia meliputi aspek komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan kepimpinan. Kesemua kemahiran ini amat penting dan perlu dikuasai lebih-lebih lagi kepada bakal graduan. Hal demikian kerana kebanyakan organisasi amat menitikberatkan kesemua kemahiran insaniah ini bagi mendapatkan pekerja yang berpotensi dan berkualiti. Kemahiran komunikasi terutamanya Bahasa Inggeri adalah kemahiran utama yang ditetapkan oleh majikan sebagai aspek pemilihan graduan sama ada kemahiran komunikasi itu benar-benar dikuasai pada tahap yang diingini. Tambahan pula, penguasaan kemahiran komunikasi yang baik membolehkan graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif di samping membantu mereka untuk mendapatkan kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan kemahiran yang mereka ada. Selain itu, kemahiran kerja berpasukan yang memerlukan seseorang itu bekerja dengan lebih ramai orang di dalam satu kumpulan juga perlu dikuasai. 


Nilai-nilai positif juga perlu diterapkan agar hubungan yang baik dapat dibina antara ahli kumpulan. Penguasaan dalam kemahiran penyelesaian masalah juga merupakan kriteria penting bagi membolehkan graduan diterima bekerja. Hal yang demikian kerana organisasi memerlukan pekerja yang mampu menyelesaikan masalah jika berada dalam situasi yang sukar. Kesimpulannya, kemahiran insaniah perlu dikuasai terutamanya dalam kalangan graduan dan mereka perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran realiti pekerjaan sebenar. 

PEMERDAGANGAN MANUSIA SEMAKIN BERLELUASA


Sejak kebelakangan ini, sering dipaparkan di dada akhbar mengenai kes pemerdagangan manusia  yang semakin menjadi-jadi di serantau dunia. Pemerdagangan manusia boleh ditakrifkan sebagai bentuk perhambaan  manusia pada masa ini. Sebagai contoh, pemerdagangan yang sering berlaku melibatkan penjualan organ manusia, sindeket pelacuran dan kerja tanpa gaji kepada buruh-buruh asing. Kajian menunjukkan kira-kira 80 peratus mangsa adalah terdiri daripada wanita dan gadis muda, serta 50 peratus adalah dari kalangan remaja bawah umur. Majoriti mangsa adalah wanita yang diperdagangkan bagi tujuan eksploitasi seks komersial. Hal ini amat membimbangkan semua pihak kerana manusia tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.



Antara faktor yang mendorong kegiatan ini adalah kurang penguatkuasaan undang-undang. Terdapat beberapa lokasi strategi seperti pintu masuk sempadan, lapangan terbang atau pelabuhan yang tidak dijaga dengan rapi. Tambahan pula, ada juga segelintir pihak berkuasa yang tidak amanah dengan mengambil rasuah dan hanya memandang sebelah mata tentang kes ini. Selain itu, pendedahan yang kurang berkaitan isu ini juga menjadi punca berlakunya pemerdagangan manusia. Orang ramai haruslah peka akan isu ini dan lebih berhati-hati serta elakkan daripada berjalan seorang diri di tempat yang sunyi. Oleh hal yang demikian kita semua haruslah mengambil langkah berjaga-jaga walau di mana jua kita berada. Kerajaan juga harus peka akan isu ini dengan mengetatkan penguatkuasaan undang-undang serta meletakkan kawalan yang ketat dalam negara agar isu ini dapat dibendung .

Monday 12 December 2016

ANCAMAN VIRUS ZIKA, SELAMATKAH KITA?


        Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan ancaman virus Zika iaitu sejenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Penyakit ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan demam denggi. Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung kes seorang wanita dari Klang telah disahkan positif dijangkiti virus tersebut selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos yang lalu. Hal ini amat membimbangkan rakyat Malaysia kerana penyakit ini mula tersebar dan merebak ke kawasan lain. Tambahan pula, laporan mengesahkan terdapat 5 orang rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura telah dijangkiti virus ini. Oleh itu, aktiviti pencegahan Aedes ditingkatkan di semua negeri terutama di Johor dan Selangor. Apa yang lebih membimbangkan ialah wanita hamil lebih berisiko mendapat jangkitan ini kerana virus tersebut boleh mengancam perkembangan janin di dalam kandungan. 

      Antara gejala Zika termasuklah sakit sendi, sakit otot dan demam berterusan. Oleh yang demikian, kita haruslah mengambil inisiatif untuk mencegah daripada penularan virus ini dengan membersihkan kawasan sekitar dari pembiakan nyamuk Aedes dan mendapatkan pemeriksaan berkala jika demam kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Semoga kita semua akan terhindar daripada jangkitan virus Zika ini.































































MENGEJAR CITA-CITA LIMA TAHUN AKAN DATANG


Siapakah saya lima tahun dari sekarang? Setiap manusia harus mempunyai matlamat hidup sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Tidak terkecuali juga dengan apa yang saya mahukan dari sekarang. Kalau ditambah dengan umur yang sekarang dan lima tahun lagi usia saya akan menjangkau ke-28 tahun. Jika diizinkan Allah saya akan menerima ijazah sarjana Pengurusan Sumber Manusia pada tahun hadapan. Kemudian bermulalah perjalanan hidup di mana saya akan mempunyai kerjaya sendiri sebagai salah seorang tenaga kerja di sebuah organisasi. Saya mahu bekerja dan membalas jasa ibu bapa terlebih dahulu. Semoga pengajian saya selama empat tahun di Universiti Utara Malaysia berbaloi supaya saya dapat sumbangkan sesuatu yang bernilai kepada agama, bangsa dan negara. Seterusnya, saya akan mempunyai keluarga sendiri kerana perkahwinan merupakan impian setiap orang. Semoga lima tahun akan datang saya dapat lebih memajukan diri.